Tuesday, 14 February 2012

Peperangan Uhud

Perang Uhud ini berlaku pada tahun ketiga Hijrah antara tentera Islam dengan tentera kafir Quraisy. Perang Uhud adalah platform untuk orang Quraisy membalas dendam terhadap kekalahan mereka ketika Perang Badar. Dinamakan Perang Uhud kerana ia berlaku di sebuah tempat yang dikelilingi Bukit Uhud.
Pihak Quraisy keluar dari Makkah dengan gerombolan tentera seramai 3000 orang termasuk para penyokongnya. Pihak Muslim pula keluar dari Madinah di bawah seliaan Nabi Muhammad s.a.w seramai seribu orang sahaja. Walau bagaimanapun, Abdulah bin Ubai (ketua suku Khazraj) bersama tiga ratus orang yang lain telah menarik diri di tengah perjalanan mereka.
Di Bukit Uhud, 50 orang yang terdiri daripada pasukan memanah telah diperintahkan untuk mengadakan kubu pertahanan di atas bukit dan diperintahkan agar tidak meninggalkan bukit itu sama ada kalah atau menang sehingga diberitahu kelak.
Pertempuran bermula dan mula menyaksikan kegoyahan tentera Quraisy. Tentera musyrik mula berundur dan tentera Muslim mula nampak kejayaan mereka dan ketika itu, tentera yang bertahan di atas bukit mula meninggalkan tempat itu untuk memungut harta yang tertinggal dan menguasai medan kemenangan. Sebaik mereka meninggalkan bukit tersebut, Khalid al-Walid bersama tentera berkudanya serta beberapa pimpinan perang untuk mula menyerang dari belakang iaitu menerusi bukit tersebut.
Serangan tersebut memecah-belahkan tentera Muslim dan melemahkan pertahanan mereka. Ketika itulah muncul pelbagai dakwaan dan propaganda yang turut mengatakan bahawa Muhammad telah terkorban. Itu menyebabkan kebanyakan tentera Muslim menjadi lemah dan tidak bersemangat sehingga berpecah kepada kumpulan yang ingin meneruskan perang dan yang ingin lari. Walau bagaimanapun, Muhammad s.a.w. bersama Abu Bakr as-SiddiqUmar ibni al-Khattab dan Ali bin Abi Thalib masih selamat. Ubai bin Khalaf ketika itu muncul untuk membunuh baginda dan baginda mengambil lembing terus menikam Ubai sehingga mati. Ini merupakan pembunuhan yang pertama dilakukan baginda.
Baginda turut jatuh ke dalam lubang yang digali oleh Abu Amar Ar-Rahab dan dikurung baginda di dalamnya. Ia menyebabkan kedua-dua belah lutut baginda tercedera, cedera pipi, gigi patah dan baginda turut pitam di dalamnya. Kemudian, muncul Fatimah bersama Ali membasuh luka baginda. Tidak kurang juga tentera Muslim yang lain. Jika tidak terkorban, kebanyakannya tercedera dengan hebat. Serangan bertubi-tubi dilakukan oleh tentera Quraisy dengan penuh dendam.
Lebih 70 orang tentera Muslim terkorban manakala hanya 23 orang tentera Quraisy yang terkorban. Hamzah bin Abdul Mutalib iaitu salah seorang panglima Islam turut dibunuh oleh lelaki Habsyi bernama Wahsyi. Dadanya pula kelihatan telah ditebuk dan hatinya telah dikunyah oleh Hind iaitu isteri Abu Sufyan. Baginda memerintahkan agar mereka yang syahid itu dikebumikan bersama pakaian mereka.
Setelah pulang ke Madinah, tentera Muslim mendapat penangan yang hebat apabila diejek oleh Yahudi dan Munafik Madinah dengan mengatakan yang mereka pasti terselamat jika tidak bersama berperang. Peristiwa ini memberi pengajaran kepada para sahabat dan umat Islam seluruhnya bahawa kita perlu taat kepada ketua selain Allah dan rasul-Nya.

Tuesday, 31 January 2012

PEPERANGAN BADAR


JOM TONTON VIDEO PEPERANGAN BADAR


Medan peperangan badar


       Rasulullah s.a.w ini telah mengetahui tentang qafilah Abu Sufian telah berjaya menyelamatkan diri disamping bala tentera kafir Quraisy yang besar iaitu seramai 1300 orang dan lengkap bersenjata telah tiba di Badar. Oleh itu tentera Islam tidak boleh mengelak lagi daripada bertempur kerana jika mereka berundur bererti kafir Quraisy akan mendapat kemenangan moral dari segi politik dan tentera serta mendapat kedudukan yang kuat di Semenanjung Arab dan memungkinkan mereka bermaharajalela sesuka hati. Walau pun dengan jumlah yang sedikit dan kelengkapan yang tidak mencukupi namun semangat jihad demi mempertahankan Islam terus membara dalam diri tentera Islam. 
 Selepas itu Rasulullah s.a.w telah membentuk 2 pasukan pengintip dalam meninjau kekuatan musuh. Pada malam itu Allah menurunkan hujan sebagai pertolongan kepada tentera Islam dan bencana kepada tentera musuh. Kemudian tentera Islam telah membina markaz disebuah tempat yang terletaknya mata air paling dekat dengan musuh di mana di situ mereka telah membina kolam disamping menimbus tempat-tempat air yang lain. Dengan cara ini musuh akan keputusan bekalan air. 

       Kemudian Sa’ad bin Mu’adz telah mencadangkan kepada Rasulullah s.a.w : " Wahai Rasulullah! Saya cadangkan agar dibina tempat perlindungan untuk menjamin keselalamtan Rasulullah. Biar kami bertempur dengan musuh. Jika Allah mengurniakan kemenangan kepada kita dan kita dapat mengatasi musuh maka itulah yang sangat kami kehendaki. Sekiranya Allah mengkehendaki berlaku sebaliknya maka engkau tetap berada dalam keadaan selamat di tempat itu. Engkau boleh terus bersama dengan orang-orang yang masih ada dan mereka juga kasih kepadamu seperti kami juga. Jikalau engkau mahu meneruskan lagi peperangan, mereka sekali-kali tidak akan meninggalkanmu dan terus mempertahankanmu dengan sama-sama berjihad bersamamu". Lalu para sahabat membina tempat untuk Rasulullah s.a.w di satu tempat yang tinggi yang membolehkan baginda memerhati ke arah medan pertempuran. Pada malam Jumaat 17 Ramadhan itu tentera Islam diberikan ketenangan oleh Allah di mana mereka dapat tidur dengan nyenyak kerana keesokan harinya mereka akan bertempur dengan musuh Allah itu. 

        Pada pagi Jumaat 17 Ramadhan, kedua-dua belah pihak bersedia untuk berperangan di mana Rasulullah s.a.w sendiri telah menyusun sof tentera dengan susunan yang kemas dan rapi. Selepas itu Rasulullah s.a.w telah mengangkat tangan memohon pertolongan Allah. Antara doa baginda ialah yang bermaksud :  


" Ya Allah! Wahai Tuhanku, tunaikanlah apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah! Wahai Tuhanku, kurniakanlah apa yang dijanjikan kepadaku. Ya Allah! Wahai Tuhanku, jika Engkau binasakan pasukan kecil ini maka Engkau tidak akan disembah lagi di bumi selepas ini ".  

Pertempuran bermula dengan Rasulullah s.a.w meminta agar Ubaidah bin Harith, Sayyidina Hamzah dan Sayyidina Ali mara untuk menentang tiga pemimpin Quraisy yang telah mencabar tentera Islam. Ketiga-tiga pahlawan Islam telah berjaya membunuh musuh mereka di mana kemenangan ini merupakan kemenangan awal dalam menyemarakkan lagi semangat jihad. Selepas itulah berlakunya pertempuran di mana pada peringkat pertama tentera Islam mengambil tindakan bertahan di mana tentera musuh berjaya dilumpuhkan dengan kehilangan banyak jiwa. Dalam saat yang genting ini Rasulullah terus bermunajat kepada Allah sehingga kain yang disangkut dibahunya terjatuh di mana Sayyidina Abu Bakar yang melihat perkara ini terasa begitu sedih dan berkata kepada Rasulullah : " Cukuplah wahai nabi Allah! ". Allah mengabulkan doa baginda dengan menghantar tentera malaikat. 

      Pada peringkat kedua tentera Islam mula mengambil tindakan menyerang di mana serangan ini turut dibantu oleh tentera daripada kalangan malaikat di mana antara yang dapat disaksikan ialah bagaimana terputusnya kepala dan tangan musuh tanpa dapat dilihat sesiapa yang memancungnya. Seorang tentera Islam yang sedang mengejar musuh tiba-tiba terdengar pukulan cemeti dari atas dan terdengar suara pahlawan berkuda. Seorang sahabat lagi dapat melihat bagaimana kepala musuh terputus sebelum pedangnya mengenai batang tengkuk musuh itu. 
 Iblis yang menyerupai dirinya sebagai Suraqah bin Malik merasa gementar apabila melihat penyertaan malaikat. Dia terus lari dan terlanggar Al-Harith bin Hisyam sehingga rebah. Apabila ditanya mengapa dia cuba lari lalu dia menyatakan bahawa dia nampak apa tidak mampu dilihat oleh tentera kafir dan dia begitu takut kepada Allah yang amat pedih siksaanNya. Kemudian dia lari sekuat hatinya dan mencampakkan dirinya ke laut. 

       Abu Jahal sendiri berjaya dibunuh apabila Mu’adz bin Amru telah merempuh lapisan lembing dan tombak yang mengelilingi Abu Jahal sehingga dia berjaya menetak di tengah betisnya. Tiba-tiba Ikramah anak Abu Jahal menetak ke leher pemuda itu lalu terkena tangannya sehingga hampir putus dan hanya tergantung dikulitnya sahaja. Dia meneruskan serangan terhadap Abu Jahal dengan mengheret tangannya yang terkulai di mana ketika terasa sakit lalu dia memijak tangan itu dengan kakinya supaya putus. Kemudian Mu’adz berjaya menetak Abu Jahal sehingga hampir maut. Abdullah bin Mas’ud yang mencari-cari Abu Jahal telah menjumpainya lalu terus memancung lehernya di mana kepalanya telah dibawa kepada Rasulullah s.a.w. Baginda menyatakan bahawa inilah dia Firaun umat ini. 
Peperangan yang bersejarah ini berakhir dengan kemenangan yang nyata kepada tentera Islam di mana 70 orang musyrikin terbunuh dan 70 orang lagi berjaya ditawan. Manakala 14 orang tentera Islam telah gugur syahid. Kemenangan ini terus diberitahu kepada penduduk Madinah melalui 2 orang utusan yang dihantar oleh Rasulullah s.a.w bagi menafikan berita bohong yang disampaikan oleh puak munafik dan yahudi yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah wafat. Berita kemenangan ini disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan yang menjadi lambang kepada keagungan Islam yang bakal menguasai dunia. Mereka bertakbir dan bertahlil menyambut berita ini dan ada para sahabat yang terkemuka yang tinggal di Madinah telah menuju ke Badar bagi menyampaikan ucapan tahniah kepada Rasulullah s.a.w. Manakala Sayyidina Othman pula mendapat berita gembira ini  ketika sedang mengkebumikan jenazah anak Rasulullah s.a.w Ruqayyah yang baru meninggal dunia.
 
 Kemenangan ini telah meletakkan Islam agama yang tertinggi dan umat Islam menjadi bangsa yang kuat bukan lagi sebagai mangsa penindasan para kuffar. Semoga semangat jihad Badar ini akan membakar semangat kita dalam memastikan Islam menjadi agama yang memerintah bukannya agama yang diperintah. 

Firman Allah dalam ayat 9 surah al-Anfal yang bermaksud :


" Ingatlah ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu lalu diperkenankannya bagimu. Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut "

Firman Allah dalam ayat 16 surah as-Sajadah yang bermaksud :

"Lambung mereka jauh daripada tempat tidurnya sedangkan mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan mengharap dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka "

Perasaan antara al-Raja’ iaitu terlalu mengharap dan al-Khauf iaitu takut mestilah sentiasa kita sematkan dalam hati agar kita tidak terlalu yakin bahawa segala amalan kita samada solat, puasa, sedekah dan amalan soleh yang lain memang telah diterima oleh Allah sehingga kita tidak berusaha untuk memperelokkannya dan kita juga tidak boleh merasa terlalu takut segala amalan tadi sentiasa ditolak sehingga timbul perasaan malas untuk beribadat sehingga kita terus hanyut dengan maksiat. Kita mesti berada antara keduanya iaitu antara takut dan mengharap agar segala amalan kita tidak dilakukan sambil lewa serta ia dilakukan dengan penuh keyakinan dan ikhlas sambil mengharap  ia diterima oleh Allah 


Peperangan Badar Al-Qubra


Peristiwa peperangan Badar al-Kubra yang merupakan tapak kemenangan Islam dalam melebarkan penguasaan seterusnya. Peperangan Badar al-Kubra ini telah berlaku pada 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah di mana pada tahun ini juga Allah mewajibkan berpuasa sebulan Ramadhan. Peristiwa ini berlaku apabila Rasulullah s.a.w sendiri yang mengetuai pasukan tentera Islam seramai 313 orang telah menuju ke Badar bertujuan untuk menyekat qafilah  perniagaan Quraisy pimpinan Abu Sufian bin Harb yang baru pulang dari Syam menuju ke Mekah. Jumlah tentera Islam tidak begitu ramai kerana ia pada asalnya merupakan suatu operasi dalam menyekat qabilah tersebut dan Rasulullah s.a.w sendiri tidak meramalkan akan berlakunya suatu peperangan terbuka yang besar dan bersejarah. Oleh itu ramai di kalangan sahabat tidak menyertai gerakan ini. 

       Malangnya kemaraan tentera Islam telah diketahui oleh Abu Sufian melalui pengintip yang telah ditugaskannya lalu dia memerintahkan agar wakil qafilah untuk meminta bantuan daripada Kafir Quraisy di Mekah. Disamping itu Abu Sufian telah melalui jalan lain iaitu melalui pantai sehingga mereka berjaya menyelamatkan diri daripada bertembung dengan tentera Islam. Setelah itu dia menghantar utusan untuk bertemu Abu Jahal bagi menyatakan bahawa mereka telah selamat dan tidak memerlukan bantuan tentera lagi tetapi Abu Jahal dengan sombongnya menyatakan : " Demi Allah! Kita tidak mahu pulang sekarang sehingga kita sampai di Badar. Kita berpesta di sana selama 3 hari, kita sembelih unta. Minum arak dan menyanyi sehingga seluruh bangsa arab mengetahui perhimpunan  dan kedatangan kita. Maka kehebatan kita terus menerus dapat dilihat oleh mereka ". 




Monday, 30 January 2012

nasyid sifat mahmudah

menghormati ibu bapa

MENGHORMATI IBU BAPA KITA
Islam telah menggariskan beberapa cara untuk menghormati ibu bapa. Antaranya:
►Beradab sopan seperti berlemah-lembut, bergaul mesra dan menjaga perasaan mereka.
►Mengenang pengorbanan mereka seperti ibu mengandung, melahirkan dan menyusukan. Bapa
pula mendidik, mengasuh dan mencari rezeki.
►Menziarahi mereka dan selalu bertanya khabar.
►Memenuhi permintaan dan patuh dengan suruhan mereka yang tidak bertentangan Islam.
►Tidak membantah kata-kata mereka.
►Tidak menyakiti perasaan mereka.
Kita juga diwajibkan untuk berbakti terhadap kedua ibu bapa. Pelbagai cara boleh dilakukan
untuk berbakti kepada mereka. Antara lain:
►Memberi sumbangan kebendaan, terutama ketika mereka dalam keadaan susah.
►Melayani mereka tanpa membiarkan mereka sedih dan kesunyian.
►Merawati mereka ketika sakit.
►Menjaga mereka ketika mereka tidak berdaya.
►Sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka.
►Berakhlak mulia demi menjaga maruah kedua ibu bapa. Mereka pasti bangga mempunyai kita.
Apabila mereka telah meniggal dunia, apa yang mampu kita lakukan untuk mereka adalah:
► Mendoakan dan memohon ampun untuk mereka agar dikurniakan kebahagiaan di akhirat.
► Menunaikan janji mereka.
► Memuliakan rakan-rakan mereka.
► Menyambung persaudaraan dengan kerabat mereka.
Tayammum ialah menyapu debu kemuka dan kedua tangan sampai ke siku, menggunakan debu yang suci dengan beberapa syarat. Tayammum adalah sebagai ganti dari wuduk atau mandi. Tayammum di segisyarak adalah menggunakan tanah yang bersih dan suci seperti debu atau pasir bagi menyapu muka dan tangan untuk mengangkat hadas dengan persyaratan syarak sebagai pengganti wuduk atau mandi wajib(mandi junub).
Dengan tayammum seseorang hanya boleh mengerjakan satu ibadah yang fardu saja dan ditambah dengan ibadah yang sunat-sunat.

cara-cara tayammum

Monday, 9 January 2012

Nabi Ismail sebagai Qurban

Nabi Ibrahim dari masa ke semasa pergi ke Makkah untuk mengunjungi dan menjenguk Ismail di tempat pengasingannya bagi menghilangkan rasa rindu hatinya kepada puteranya yang ia sayangi serta menenangkan hatinya yang selalu rungsing bila mengenangkan keadaan puteranya bersama ibunya yang ditinggalkan di tempat yang tandus, jauh dari masyarakat kota dan pengaulan umum.

Sewaktu Nabi Ismail mencapai usia remajanya Nabi Ibrahim a.s. mendapat mimpi bahwa ia harus menyembelih Ismail puteranya. Dan mimpi seorang nabi adalah salah satu dari cara-cara turunnya wahyu Allah, maka perintah yang diterimanya dalam mimpi itu harus dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim. Ia duduk sejurus termenung memikirkan ujian yang maha berat yang ia hadapi. Sebagai seorang ayah yang dikurniai seorang putera yang sejak puluhan tahun diharap-harapkan dan didambakan, seorang putera yang telah mencapai usia di mana jasa-jasanya sudah dapat dimanfaatkan oleh si ayah, seorang putera yang diharapkan menjadi pewarisnya dan penyampung kelangsungan keturunannya, tiba-tiba harus dijadikan qurban dan harus direnggut nyawa oleh tangan si ayah sendiri.
Namun ia sebagai seorang Nabi, pesuruh Allah dan pembawa agama yang seharusnya menjadi contoh dan teladan bagi para pengikutnya dalam bertaat kepada Allah, menjalankan segala perintah-Nya dan menempatkan cintanya kepada Allah di atas cintanya kepada anak, isteri, harta benda dan lain-lain. Ia harus melaksanakan perintah Allah yang diwahyukan melalui mimpinya, apa pun yang akan terjadi sebagai akibat pelaksanaan perintah itu.
Sungguh amat berat ujian yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim, namun sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: "Allah lebih mengetahui di mana dan kepada siapa Dia mengamanatkan risalahnya". Nabi Ibrahim tidak membuang masa lagi, berazam (niat) tetap akan menyembelih Nabi Ismail puteranya sebagai qurban sesuai dengan perintah Allah yang telah diterimanya. Dan berangkatlah serta merta Nabi Ibrahim menuju ke Makkah untuk menemui dan menyampaikan kepada puteranya apa yang Allah perintahkan.
Nabi Ismail sebagai anak yang soleh yang sangat taat kepada Allah dan bakti kepada orang tuanya, ketika diberitahu oleh ayahnya maksud kedatangannya kali ini tanpa ragu-ragu dan berfikir panjang berkata kepada ayahnya:
"Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah kepadamu. Engkau akan menemuiku insya-Allah sebagai seorang yang sabar dan patuh kepada perintah. Aku hanya meminta dalam melaksanakan perintah Allah itu, agar ayah mengikatku kuat-kuat supaya aku tidak banyak bergerak sehingga menyusahkan ayah, kedua agar menanggalkan pakaianku supaya tidak terkena darah yang akan menyebabkan berkurangnya pahalaku dan terharunya ibuku bila melihatnya, ketiga tajamkanlah parangmu dan percepatkanlah perlaksanaan penyembelihan agar meringankan penderitaan dan rasa pedihku, keempat dan yang terakhir sampaikanlah salamku kepada ibuku berikanlah kepadanya pakaian ku ini untuk menjadi penghiburnya dalam kesedihan dan tanda mata serta kenang-kenangan baginya dari putera tunggalnya."
Kemudian dipeluknyalah Ismail dan dicium pipinya oleh Nabi Ibrahim seraya berkata: "Bahagialah aku mempunyai seorang putera yang taat kepada Allah, bakti kepada orang tua yang dengan ikhlas hati menyerahkan dirinya untuk melaksanakan perintah Allah".
Saat penyembelihan yang mengerikan telah tiba. Diikatlah kedua tangan dan kaki Ismail, dibaringkanlah ia di atas lantai, lalu diambillahparang tajam yang sudah tersedia dan sambil memegang parang di tangannya, kedua mata nabi Ibrahim yang tergenang air berpindah memandang dari wajah puteranya ke parang yang mengilap di tangannya, seakan-akan pada masa itu hati beliau menjadi tempat pertarungan antara perasaan seorang ayah di satu pihak dan kewajiban seorang rasul di satu pihak yang lain. Pada akhirnya dengan memejamkan matanya, parang diletakkan pada leher Nabi Ismail dan penyembelihan di lakukan . Akan tetapi apa daya, parang yang sudah demikian tajamnya itu ternyata menjadi tumpul dileher Nabi Ismail dan tidak dapat berfungsi sebagaimana mestinya dan sebagaimana diharapkan.
Kejadian tersebut merupakan suatu mukjizat dari Allah yang menegaskan bahwa perintah perkorbanan Ismail itu hanya suatu ujian bagi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sampai sejauh mana cinta dan taat mereka kepada Allah. Ternyata keduanya telah lulus dalam ujian yang sangat berat itu. Nabi Ibrahim telah menunjukkan kesetiaan yang tulus dengan perkorbanan puteranya. untuk berbakti melaksanakan perintah Allah sedangkan Nabi Ismail tidak sedikit pun ragu atau bimbang dalam memperagakan kebaktiannya kepada Allah dan kepada orang tuanya dengan menyerahkan jiwa raganya untuk dikorbankan, sampai-sampai terjadi seketika merasa bahwa parang itu tidak lut memotong lehernya, berkatalah ia kepada ayahnya:" Wahai ayahku! Rupa-rupanya engkau tidak sampai hati memotong leherku karena melihat wajahku, cubalah telangkupkan aku dan laksanakanlah tugasmu tanpa melihat wajahku. "Akan tetapi parang itu tetap tidak berdaya mengeluarkan setitik darah pun dari daging Ismail walau ia telah ditelangkupkan dan dicuba memotong lehernya dari belakang.
Dalam keadaan bingung dan sedih hati, kerana gagal dalam usahanya menyembelih puteranya, datanglah kepada Nabi Ibrahim wahyu Allah dengan firmannya: "Wahai Ibrahim! Engkau telah berhasil melaksanakan mimpimu, demikianlah kami akan membalas orang-orang yang berbuat kebajikan". Kemudian sebagai tebusan ganti nyawa, Ismail telah diselamatkan itu, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih seekor Qibas yang telah tersedia di sampingnya dan segera dipotong leher kambing itu oleh beliau dengan parang yang tumpul di leher puteranya Ismail itu. Dan inilah asal permulaan sunnah berqurban yang dilakukan oleh umat Islam pada tiap Hari Raya Aidiladha di seluruh pelosok dunia.

Thursday, 5 January 2012

Kisah Nabi Ibrahim Dan Menantunya

Nabi Ibrahim pergi menziarahi menantunya ketika puteranya, Nabi Ismail tiada di rumah. Isteri Nabi Ismail belum pernah bertemu bapa mertuanya, Nabi Ibrahim. Apabila sampai di rumah anaknya itu, terjadilah dialog antara Nabi Ibrahim dan menantunya.

Nabi Ibrahim : Siapakah kamu?
Menantu : Aku isteri Ismail.
Nabi Ibrahim : Di manakah suamimu, Ismail?
Menantu : Dia pergi berburu.
Nabi Ibrahim : Bagaimanakah keadaan hidupmu sekeluarga?
Menantu : Oh, kami semua dalam kesempitan dan (mengeluh) tidak pernah senang dan lapang.
Nabi Ibrahim : Baiklah! Jika suamimu balik, sampaikan salamku padanya. Katakan padanya, tukar tiang pintu rumahnya (sebagai kiasan supaya menceraikan isterinya).
Menantu : Ya, baiklah.

Setelah Nabi Ismail pulang daripada berburu, isterinya terus menceritakan tentang orang tua yang telah singgah di rumah mereka.
Nabi Ismail : Adakah apa-apa yang ditanya oleh orang tua itu?
Isteri : Dia bertanya tentang keadaan hidup kita.
Nabi Ismail : Apa jawapanmu?
Isteri : Aku ceritakan kita ini orang yang susah. Hidup kita ini selalu dalam kesempitan, tidak pernah senang.
Nabi Ismail : Adakah dia berpesan apa-apa?
Isteri : Ya ada. Dia berpesan supaya aku menyampaikan salam kepadamu serta meminta kamu menukarkan tiang pintu rumahmu.
Nabi Ismail : Sebenarnya dia itu ayahku. Dia menyuruh kita berpisah. Sekarang kembalilah kau kepada keluargamu.

Ismail pun menceraikan isterinya yang suka merungut, tidak bertimbang rasa serta tidak bersyukur kepada takdir Allah SWT. Sanggup pula mendedahkan rahsia rumah tangga kepada orang luar.

Tidak lama selepas itu, Nabi Ismail berkahwin lagi. Setelah sekian lama, Nabi Ibrahim datang lagi ke Makkah dengan tujuan menziarahi anak dan menantunya. Berlakulah lagi pertemuan antara mertua dan menantu yang saling tidak mengenali.

Nabi Ibrahim : Di mana suamimu?
Menantu : Dia tiada dirumah.
Dia sedang memburu.
Nabi Ibrahim : Bagaimana keadaan hidupmu sekeluarga? Mudah-mudahan dalam kesenangan?
Menantu : Syukurlah kepada tuhan, kami semua dalam keadaan sejahtera,tiada apa yang kurang.
Nabi Ibrahim : Baguslah kalau begitu.
Menantu : Silalah duduk sebentar. Boleh saya hidangkan sedikit makanan.
Nabi Ibrahim : Apa pula yang ingin kamu hidangkan?
Menantu : Ada sedikit daging, tunggulah saya sediakan minuman dahulu.
Nabi Ibrahim : (Berdoa) Ya Allah! Ya Tuhanku! Berkatilah mereka dalam makan minum mereka. (Berdasarkan peristiwa ini,Rasulullah beranggapan keadaan mewah negeri Makkah adalah berkat doa Nabi Ibrahim).
Nabi Ibrahim : Baiklah, nanti apabila suamimu pulang, sampaikan salamku kepadanya. Suruhlah dia menetapkan tiang pintu rumahnya sebagai kiasan untuk mengekalkan isteri Nabi Ismail).

Apabila Nabi Ismail pulang daripada berburu, seperti biasa dia bertanya sekiranya sesiapa datang datang mencarinya.
Nabi Ismail : Ada sesiapa datang semasa aku tiada di rumah?
Isteri : Ya, ada. Seorang tua yang baik rupanya dan perwatakannya sepertimu.
Nabi Ismail : Apa katanya?
Isteri : Dia bertanya tentang keadaan hidup kita.
Nabi Ismail : Apa jawapanmu?
Isteri : Aku nyatakan kepadanya hidup kita dalam keadaan baik, tiada apapun yang kurang. Aku ajak juga dia makan dan minum.
Nabi Ismail : Adakah dia berpesan apa-apa?
Isteri : Ada, dia berkirim salam buatmu dan menyuruh kamu mengekalkan tiang pintu rumahmu.
Nabi Ismail : Oh, begitu. Sebenarnya dialah ayahku. Tiang pintu yang dimaksudkannya itu ialah dirimu yang dimintanya untuk aku kekalkan.
Isteri : Alhamdulillah, syukur.

"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Aku tambahkan nikmat-Ku kepadamu. Dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih." (Surah Ibrahim, ayat 7)
"Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya taat kepada suami serta mengakui haknya adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi sangat sedikit sekali golongan kamu yang dapat melakukan demikian." (Riwayat Al-Bazzar dan Ath-Thabrani)