Tuesday, 31 January 2012

Peperangan Badar Al-Qubra


Peristiwa peperangan Badar al-Kubra yang merupakan tapak kemenangan Islam dalam melebarkan penguasaan seterusnya. Peperangan Badar al-Kubra ini telah berlaku pada 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah di mana pada tahun ini juga Allah mewajibkan berpuasa sebulan Ramadhan. Peristiwa ini berlaku apabila Rasulullah s.a.w sendiri yang mengetuai pasukan tentera Islam seramai 313 orang telah menuju ke Badar bertujuan untuk menyekat qafilah  perniagaan Quraisy pimpinan Abu Sufian bin Harb yang baru pulang dari Syam menuju ke Mekah. Jumlah tentera Islam tidak begitu ramai kerana ia pada asalnya merupakan suatu operasi dalam menyekat qabilah tersebut dan Rasulullah s.a.w sendiri tidak meramalkan akan berlakunya suatu peperangan terbuka yang besar dan bersejarah. Oleh itu ramai di kalangan sahabat tidak menyertai gerakan ini. 

       Malangnya kemaraan tentera Islam telah diketahui oleh Abu Sufian melalui pengintip yang telah ditugaskannya lalu dia memerintahkan agar wakil qafilah untuk meminta bantuan daripada Kafir Quraisy di Mekah. Disamping itu Abu Sufian telah melalui jalan lain iaitu melalui pantai sehingga mereka berjaya menyelamatkan diri daripada bertembung dengan tentera Islam. Setelah itu dia menghantar utusan untuk bertemu Abu Jahal bagi menyatakan bahawa mereka telah selamat dan tidak memerlukan bantuan tentera lagi tetapi Abu Jahal dengan sombongnya menyatakan : " Demi Allah! Kita tidak mahu pulang sekarang sehingga kita sampai di Badar. Kita berpesta di sana selama 3 hari, kita sembelih unta. Minum arak dan menyanyi sehingga seluruh bangsa arab mengetahui perhimpunan  dan kedatangan kita. Maka kehebatan kita terus menerus dapat dilihat oleh mereka ". 




No comments:

Post a Comment